Mengapa Kita Merasa Sejuk Selepas Mandi?

Mungkin ada yang berfikir kita merasa sejuk kerana air yang digunakan untuk mandi bersuhu lebih rendah dari badan. Tapi, bagaimana pula kalau kita menggunakan air panas untuk mandi. Bukankah kita tetap merasa sejuk selepas mula mengelap tubuh kita?

Cuba ambil sehelai tisu dan basahkannya. Kemudian, lap tisu tersebut pada tapak tangan. Pada awalnya, tapak tangan kita akan basah, tetapi setelah beberapa ketika kita akan merasa sejuk ketika air mula mengering.

Proses air yang mengering ini dikenali sebagai proses penyejatan/pengewapan. Apabila proses ini berlaku, cecair akan meresap haba dimana ia mula mengewap, dan situasi ini merujuk kepada haba pada tapak tangan anda. Oleh itu,  anda akan merasa kesejukan pada telapak tangan.

Sekiranya anda mengelap bahan yang lebih cepat meruap (seperti alkohol) pada tangan anda, maka anda akan merasa lebih sejuk. Hal ini disebabkan lebih banyak haba yang diserap bagi mempercepatkan proses pengewapan.

Oleh sebab itulah, selepas kita mandi, proses penyewapan berlaku pada keseluruhan badan yang masih terdapat air, menyebabkan lebih banyak haba yang diserap dan menghasilkan sensasi sejuk kepada tubuh badan kita.